Thursday 2 February 2012

Kewajipan mencintai Ahli Bait


AQIDAH AHLI  SUNNAH WAL JAMA’AH MENGENAI AHLI BAIT RASULULLAH S.A.W  SECARA RINGKAS


1.                        Ahli Sunnah mewajibkan pengikutnya mencintai dan memuliakan semua Ahli Bait dan sahabat-sahabat Baginda s.a.w, kerana tanda kecintaan kepada Nabi s.a.w  ialah mencintai Ahli Bait dan sahabat-sahabat Baginda s.a.w .
Mencintai Nabi s.a.w adalah wajib, maka tidak sempurna kecintaan terhadap Nabi s.a.w , melainkan setelah mencintai kesemua ahli keluarga dan sahabat –sahabat Baginda s.a.w.

                  Berbeza dengan kaum Rafidhah (Syiah yang menolak kepimpinan   Saidina Zaid ibn Ali Zainal Abidin r.a yang tidak mahu mencaci dan mencerca Saidina Abu Bakar r.a ) yang hanya memberikan keutamaan dan penghormatan kepada sebahagian daripada Ahli Bait dan sahabat Nabi s.a.w , tetapi memfasiqkan bahkan mengkafirkan sebahagian yang lainnya.

                  Imam al Sakhawi menyatakan , bahawa Imam Zainul Abidin Ali ibn al Husin  r.a pernah berkata kepada orang yang sezaman dengannya:

“ Wahai sekalian manusia! Kasihilah kami dengan kasih Islam (mengasihi keluarga Nabi mengikut landasan syariat Islam)”

                                                         (Istijlab Jilid 2 H: 707 hadis no. 421)

2.                  Ahli Sunnah mengetahui kewajipan mereka tentang hak-hak Ahli Bait kerana Allah Ta’ala telah menjadikan bagi Ahli bait, hak menerima seperlima daripada harta fai. Ibnu hajar menyatakan bahawa harta fai ialah harta yang diperolehi oleh kaum Muslimin daripada harta orang-orang kafir bukan melalui jalan peperangan. Manakala suruhan berselawat ke atas mereka adalah mengikut suruhan berselawat ke atas Nabi s.a.w.

3.                  Ahli Sunnah berlepas diri (tiada kena-mengena) dengan jalan orang-orang yang melakukan pelampauan ke atas keluarga Nabi s.a.w sepertimana kaum Rafidhah yang bersikap melampau ke atas mereka.




Kewujudan kaum ini pernah diungkapkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Sakhawi daripada Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika aku bersama Nabi s.a.w, dan ketika itu ada bersama Baginda s.a.w Saidina Ali r.a, Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Wahai Ali! Akan muncul didalam kelompok umatku suatau kaum yang mendakwa mengasihi kami Ahli Bait; bagi mereka gelaran yang tidak baik; mereka dinamakan dengan Rafidhah. Maka hendaklah kalian membunuh mereka , kerana mereka adalah orang musyrikin.”

4.                  Ahli sunnah memuliakan isteri-isteri Nabi s.a.w, menyertakan perkataan Radhiallahu ‘Anha (mendoakan semoga Allah meredhainya) ketika menyebut nama mereka, mengetahui hak-hak mereka dan mempercayai bahawa mereka adalah isteri-isteri Nabi s.a.w di dunia dan akhirat.

5.                  Ahli Sunnah menyifatkan Ahli bait mengikut sebagaimana yang disyariatkan dan bukan secara melampaui batas.

Melampaui batas  disini bermaksud menyifatkan Ahli Bait adalah maksum dan ada yang menyatakan bahawa jasad  Saidina Ali r.a dimasuki roh Tuhan sepertimana kepercayaan salah orang Kristian terhadap Nabi Isa a.s dan lain-lain yang dipegang  oleh golongan Syi’ah.

Ahli Sunnah juga tidak beriktikad bahawa Ahli Bait adalah maksum, tetapi mereka beriktikad bahawa Ahli bait juga adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan sebagaimana yang berlaku kepada manusia yang lain.

Dinyatakan oleh Imam Sakhawi, daripada Saidina Ali r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Wahai Ali! Akan masuk ke dalam neraka kerana kamu dua orang lelaki, seorang lelaki yang terlampau mengasihi  kamu dan seorang lelaki lagi yang terlampau membenci kamu. Kedua-duanya akan dimasukkan ke dalam neraka.”

      Imam al Sakhawi mengenengahkan perkataan al Hasan ibn al Hassan ibn Ali ibn Abu Thalib r.a kepada seorang lelaki yang bersikap melampau terhadap Ahli Bait:






“Celakalah kamu! Kasihilah kami kerana Allah, sekiranya kami mentaati Allah maka kasihilah kami, dan sekiranya kami menderhaka kepada Allah maka bencilah terhadap kami. Katakanlah perkataan yang benar mengenai kami, kerana itu yang lebih dituntut kamu lakukan, dan kami redha dengan perbuatan kamu itu.”

Suruhan membenci yang disebut oleh al Hasan bukanlah bermakna membenci mereka sepertimana membenci orang lain dengan meninggalkan mereka , tetapi hendaklah mereka tetap dimuliakan dengan diberi nasihat secara berhikmah supaya kembali kepada jalan yang benar.

6.                  Ahli Sunnah beriktikad bahawa dari kalangan Ahli Bait  tidak ada yang sentiasa diampunkan dosanya, tetapi terdapat dari kalangan mereka yang baik dan yan jahat , yang soleh dan yang toleh.

7.                  Ahli Sunnah jiga beriktikad bahawa perkataan atau pendapat yang menyebut tentang kelebihan atau kemuliaan Ahli Bait tidaklah bermaksud melebihkan mereka pada setiap keadaan atau setiap orang, bahkan dari sudut yang lain keapatan dari klalangan orang lain yang lebih afdhal daripada mereka.

(Kitab Ihya’ al Mayyiti bi Fadhoilil Ali Bait karangan al Imam al hafiz Jalaluddin As Suyuti)





Tuesday 31 January 2012

AL-IMAN AL-HABIB ‘ALAWI BIN ‘ABDULLAH BIN ‘AIDARUS BINSYIHAB رضي الله عنه (1303H-1386H)

Sufyan bin ‘Uyainah berkata:
عِندَ ذِكْرِ الصَّالِحِينَ تَنزِلُ الرَّحْمَةُ
Tatkala menyebut orang-orang saleh, turun rahmat.
AL-IMAN AL-HABIB ‘ALAWI BIN ‘ABDULLAH BIN ‘AIDARUS BINSYIHAB رضي الله عنه (1303H-1386H)
Nama beliau  harum masyhur di kota Tarim. Kisah mengenai beliau sentiasa meniti di bibir penduduk kota Tarim. Karamahnya masyhur diperkatakan orang. Kata-kata hikmat dan pengajaran beliau sering dipetik oleh para Saadah Ba'Alawi di kota Tarim. Beliau adalah salah seorang auliya dari kota Tarim.
Nasab: Beliau adalah al-‘Arif ar-Rabbani wa al-Mursyid ash-Shomadaani, al-‘Allamah al-Faqih, Syeikh Tarim fi ‘Ashrihi al-Habib al-Munib ‘Alawi bin ‘Abdullah bin ‘Aidarus bin Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Aidarus bin ‘Ali bin Muhammad bin asy-Syeikh Syihabuddin (al-Ashghor) Ahmad bin ‘Abdurrahman ibn asy-Syeikh Syihabuddin (al-Akbar) Ahmad bin Abdurrahman bin Syeikh ‘Ali bin Abu Bakar as-Sakran bin bin ‘Abdurrahman as-Saqqaf bin Muhammad Maula ad-Dawilah bin ‘Ali Shohib al-Dark bin ‘Alawi al-Ghuyur bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Imam al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Bonda beliau bernama Fathimah binti Muhammad bin Umar bin Ahmad Bilfaqih.
Kelahiran: Dilahirkan di kampung an-Nuwaidirah di Kota Tarim al-Ghanna pada Muharram 1303H. Tumbuh membesar di dalam keluarga yang berilmu lagi bertaqwa. Beliau dibesarkan, dipelihara dan didik oleh bonda beliau sendiri kerana tatkala itu ayahandanya merantau ke tanah Jawa. Di samping itu beliau juga di didik oleh bapa saudaranya al-Habib Muhammad bin ‘Aidarus binSyihab. Membesar di dalam suasana kehidupan yang sederhana. Sewaktu kecil beliau menderita sakit yang parah yang menggangu pertumbuhannya. Maka tatkala al-Habib ‘Aidarus bin ‘Umar al-Habsyi (1237H – 1314H) menziarahi kota Hawi maka peluang ini di-ambil oleh bapa saudaranya untuk membawanya bertemu dengan al-Habib ‘Aidarus bin ‘Umar al-Habsyi untuk didoakannya. Al-Habib ‘Aidarus bin ‘Umar al-Habsyi adalah seorang yang sangat ‘alim (al-‘Allamah) dan seorang ‘arifbillah. Beliau adalah merupakan seorang musnid dan digelar sebagai Musnid Hadhramaut. Al-Habib ‘Aidarus bin ‘Umar al-Habsyi meletakkan tangannya ke perut al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah BinSyihab dan menyapu kepalanya sambil membacakan doa selama satu jam. Kemudian beliau berpesan kepada al-Habib Muhammad bin ‘Aidarus agar memberinya minum sejenis minyak (samin). Seterusnya al-Habib ‘Aidarus bin ‘Umar al-Habsyi berkata: InsyaAllah, dia akan sembuh. Sesungguhnya aku tidak datang ke sini kecuali untuk anak ini. Ini merupakan satu isyarat bahwa saatu ketika kelak al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah BinSyihab akan menjadi orang besar.
Bonda beliau wafat pada ketika usia beliau 11 tahun iaitu pada tahun 1314H. Pada usianya 14 tahun, bapa saudaranya, al-Habib Muhammad bin ‘Aidarus pula wafat.
Pendidikan dan Guru-guru Beliau: Al-Habib ‘Alawi belajar al-Qur’an, membaca dan menulis dengan Syeikh ‘Abdurrahman bin Muhammad bin Salman BaHarmi di Mi’lamah al-Aidarus al-Akbar. Kemudian selepas itu belajar di Qubbah asy-Syeikh ‘Abdullah bin Syeikh al-‘Aidarus ilmu fiqih, nahwu dan tasawwuf dengan al-Habib Syeikh bin ‘Aidarus bin ‘Abdullah al-‘Aidarus dan al-Habib Ahmad bin Muhammad bin ‘Abdullah al-Kaf.
Beliau juga belajar pada al-Habib ‘Abdurrahman bin Muhammad bin Hussin al-Masyhur iaitu Mufti Hadhramaut dan pengarang kitab Bughyatul Mustarsyidin yang masyhur itu. Beliau belajar pada ulama tersohor ini di zawiyah Masjid Syeikh ‘Ali. Pada mula beliau belajar pada al-Habib ‘Abdurrahman al-Masyhur setiap hari Isnain dan Khamis, kemudiannya beliau menghadiri keseluruhan pengajian yang dipimpin al-Habib ‘Abdurrahman al-Masyhur. 
Pada tahun 1318, tatkala Tarim dilanda wabak taun, masyarakat Tarim tidak berani keluar dari rumah mereka. Ketika itu guru beliau al-Habib ‘Abdurrahman al-Masyhur menyuruh beliau untuk tetap mengikuti pengajian. al-Habib ‘Abdurrahman al-Masyhur menasihati beliau: “Jangan takut, kamu tidak akan menderita penyakit tersebut". Beliau taat dengan perintah gurunya dan keluar mengikuti pengajian hariannya sebagaimana biasa, dan alhamdulillah, dengan berkat taat pada saranan guru juga berkat doa dari gurunya, beliau selamat dari wabak tersebut.
Selain dari yang disebutkan diatas, Al-Habib ‘Alawi belajar dari ramai ulama-ulama besar di Hadhramaut pada zamannya. Antaranya: Al-Imam al-‘Allamah ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri (1290 – 1361); Al-Habib al-‘Allamah al-Hasan bin Sholeh al-Jufri al-Bahr (wafat 1319); Al-Habib al-‘Allamah ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi (1259 – 1333); Al-Habib al-‘Allamah Ahmad bin Hasan al-‘Atthas (1275 – 1334); Asy-Syeikh al-‘Allamah al-Faqih Ahmad bin ‘Abdullah bin Abu Bakar al-Bakri al-Khatib (1275 – 1331); Asy-Syeikh al-‘Allamah Mufti Tarim Abu Bakar bin Ahmad bin ‘Abdullah al-Bakri al-Khatib (1268 – 1356); Al-Habib al-‘Allamah ‘Alawi bin ‘Abdurrahman bin Abu Bakar al-Masyhur (1263 – 1342); Al-Habib al-‘Allamah Aidarus bin ‘Alawi bin ‘Aidarus al-‘Aidarus; Al-Imam al-‘Arif al-Habib Muhyiddin bin ‘Abdullah bin Husain Bilfaqih; Al-Habib al-‘Allamah Seggaf bin Hasan bin Ahmad bin Husain al-Aidarus; Asy-Syeikh al-‘Allamah al-Faqih Fadhal bin ‘Abdullah ‘Irfan; Al-Habib al-‘Allamah ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Masyhur; Al-Habib al-‘Allamah Jamaluddin Muhammad Salim as-Sirri; Al-Habib al-‘Allamah ‘Abdullah bin ‘Ali bin Syihab.
Al-Imam al-‘Allamah ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri, apabila menyebut tentang al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah BinSyihab, berkata: Memadailah bagi Rubath Tarim sebagai satu kebanggaan sekiranya ia mengeluarkan darinya seorang yang seumpama ‘Alawi bin ‘Abdullah.
Mengajar dan Murid-murid Beliau: Beliau juga mengajar di Zawiyah asy-Syeikh ‘Ali bin Abu Bakar. Kitab yang beliau baca adalah Minhaj ath-Tholibin, al-Iqna’ dan Fathul Mu’in, dan mengkhatamkan pengajian dengan membaca sedikit dari kitab-kitab tasawwuf seperti Ihya ‘Ulumiddin dan ditutup pengajian tersebut dengan bacaan Surah Yaasin. Beliau juga mengadakan rohah pada setiap hari Isnin dan Khamis di rumah beliau yang mana kemudiannya dipindahkan ke Masjid Surur. Majlis maulid beliau adalah setiap malam Selasa di Masjid Surur. Pada majlis itu dibacakan Sirah Nabawiyyah dan memberi  nasihat dan peringatan.
Dalam salah satu rehlah dakwah al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri, di luar kota Tarim, beliau menghendaki seseorang menggantikan tempat beliau mengajar di Rubath Tarim, namun beliau tidak menemukannya melainkan al-Imam al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah BinSyihab. Maka beliau pilih al-Imam al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah BinSyihab mengajar di Rubath Tarim pada hari Sabtu dan Rabu. Dan setelah kewafatan al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri pada tahun 1361, al-Imam al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah BinSyihab menggantikan tempat beliau untuk mengajar dan berteruskan sehinggalah beliau wafat pada 1363.
al-Habib Umar bin 'Alawi al-Kaf
Antara murid-murid beliau adalah anak-cucu beliau iaitu Muhammad dan cucu beliau ‘Abdullah, ‘Ali dan Abu Bakar; al-‘Allamah al-Habib Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali as-Seggaf; al-‘Allamah al-Habib Muhammad bin Hadi bin Hasan as-Seggaf; al-‘Allamah al-Habib ‘Abdurrahman bin ‘Ubaidullah bin Muhsin as-Seggaf; al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin Thahir al-Haddad; al-‘Allamah al-Habib ‘Alawi bin Thahir al-Haddad; al-‘Allamah al-Habib Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abu Bakar bin Salim (datuk kepada Guru Mulia al-Habib ‘Umar); al-‘Allamah al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafidzbin Syeikh Abu Bakar bin Salim (ayahanda kepada Guru Mulia al-Habib Umar. Beliau telah menghimpun kata-kata hikmah guru beliau al-Habib ‘Alawi BinSyihab di dalam 6 jilid kitab berjudul Majmu’ Kalam wa Mawa’idz al-Habib ‘Alwi bin Abdullah bin Syihab yang masih berbentuk manuskrip); al-Habib ‘Abdul Qadir bin Ahmad Bilfagih; al-Habib Zein bin Ibrahim bin ZeinBinSumaith (al-Habib Zein mengikuti majlis-majlis pengajian al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah bin Syihabuddin di Rubath Tarim dan di Zawiyah asy-Syeikh ‘Ali bin Abu Bakar . Selain itu mengikuti rohah minggunan yang diadakan di masjid Surur); al-‘Allamah al-Habib ‘Umar bin ‘Alawi al-Kaf (beliau menulis manaqib gurunya ini dalam kitab berjudul Tuhfah al-Ahbaab wa Tazkirah Uli al-Albaab bi Dhikr Nazr Min Manaqib al-‘Arifbillah al-Wahhaab al-Habib ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Aidarus bin Muhammad ibn Syihab); al-Habib ‘Abdul Qadir bin Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali as-Seggaf dan ramai lagi.
Ibadah beliau: Beliau banyak mengerjakan sholat, di mana sholat adalah penyejuk hatinya. Sentiasa memelihara dan istiqamah sholat sunat Rawatib, Witir, Dhuha, Tahajjud, membaca al-Qur’an, aurad dan wirid. Beliau berjaga untuk betahajjud di akhir malam di rumah beliau, kemudian keluar ke Masjid Surur, lalu membaca al-Qur’an sehingga terbit fajar. Kemudian menunaikan sholat Shubuh dan setelahnya kembali ke rumah beliau membaca aurad sehingga terbit matahari.  Kemudian mengerjakan sholat Dhuha. Beliau menghidupkam masa di antara Maghrib dan ‘Isya di Masjid Almaas. Di dalam bulan Ramadhan beliau hanya tidur 2 atau 3 jam sahaja, selebihnya adalah untuk beribadah.
Suatu ketika seorang ulama bermimpi bahwa kubur al-Imam al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah bin Syihabuddin berada di halaman masjid al-Habib ‘Abdullah bin Syeikh al-Aidarus sedang dikerumuni oleh masyarakat, sesudah lapan hari dia menceritakan mimpinya kepada al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi bin Zein al-Habsyi, lalu beliau menjawab: “Nafsu kita masih hidup dalam diri kita masing-masing, sementara nafsu al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah bin Syihabuddin sudah terkubur dalam kuburan tersebut”.
Akhlaq Dalam Berdakwah: Seorang yang lembut hati dan sabar dalam berdakwah, mewarisi akhlaq luhur datuk beliau, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Guru Mulia al-Habib ‘Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abu Bakar bin Salim mencerita tentangnya. Kata Guru Mulia: “Masyrakat di zaman al-Imam al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah bin Syihabuddin pernah melempari bahagian luar Masjid Surur dengan kotoran haiwan ketika al-Imam al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah bin Syihabuddin di dalam Masjid Surur untuk meghadiri pembacaan Maulid. Walaupun demikian, al-Imam al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah bin Syihabuddin tidak pernah membalas, tetap bersabar, teguh pendirian dan terus berdakwah sehingga seluruh masyarakat menerima dakwahnya”. 
Habib 'Alawi bersama anak beliau Habib Muhammad
Guru Mulia bercerita lagi: “Masyrakat dahulu berkata: ‘Alawi bin Syihabuddin tidak mengerti apa-apa. Dia ingin masyarakat semua berada dalam thoriqohnya. Zaman sekarang berbeda, tidak seperti zaman dahulu. Dia tidak tahu cara mendidik masyarakat, dia tidak tahu waktu. Meskipun demikian, al-Imam al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah bin Syihabuddin tetap shiddiq, ikhlas dan beradab dengan Allah. Bashiroh beliau bersinar. Beliau menjaga mu’amalah beliau dengan Allah Ta’ala dengan cara berakhlaq mulia kepada orang tua dan anak-anak. Akhirnya mereka tunduk kepada beliau. Orang yang sangat membenci beliau lalu berhenti mencelanya”.
Kewafatan beliau: al-Imam al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah bin Syihabuddin wafat pada 12 Ramadhan 1386. Beliau dimakamkan di Pemakaman Zanbal. Setelah pemergian beliau, tempat beliau diganti oleh anak beliau al-Habib Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Abdullah BinSyihab. Dan setelah al-Habib Muhammad wafat, tempat diganti oleh al-Habib ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Abdullah BinSyihab. Beliau dulunya dikenali sebagai Qalbu Tarim dan kini di kenali sebagai Ainut Tarim. Alhamdulillah al-fagir sempat beberapa kali menziarahi al-Habib ‘Abdullah BinSyihab dan mendapatkan doa serta ijazah daripada beliau. Dan dapat juga bertabarruk dengan kopiah yang pernah dipakai oleh al-Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah BinSyihab. Alhamdulillah.
Makam al-Habib 'Alawi dan anak beliau al-Habib Muhammad
Kata-kata beliau: Rasa Cemburu Pada Agama Mulai Hilang: “Dalam sebuah akhbar (hadits) disebutkan bahwa di akhir zaman kelak akan ada orang-orang yang hatinya luluh seperti garam yang larut dalam air, kerana mereka melihat kemungkaran tapi tidak mampu memusnahkannya. Sekarang aku melihat rasa cemburu pada agama telah mati. Sehingga andaikata setengah warga kota menjadi kafir, maka tidak akan ada satu bulu roma pun yang berdiri dan tidak ada seorang pun yang terluka hatinya. Kalian wajib berdakwah, memberikan peringatan. Semoga Allâh memandang kita semua dengan pandangan khusus”.


Sekian dari
al-fagir ilaLlah abu zahrah
taman seri gombak
dhuha, 21 dhulhijjah 1432 bersamaan 17 november 2011

Kopiah ini pernah dipakai oleh al-Habib 'Alawi bin 'Abdullah bin 'Aidarus BinSyihab, dan kemudiannya dihadiahkan pada salah seorang teman beliau. Dan alhamdulillah al-fagir dapat bertabarruk dengannya dan al-Fagir ambil foto kopiah ini sebagai kenangan.
Al-Habib Muhammad bin 'Alawi bin 'Abdullah bin 'Aidarus BinSyihab.
Al-Habib 'Abdullah bin Muhammad bin 'Alawi bin 'Abdullah bin 'Aidarus BinSyihab bersama adinda beliau al-Marhum al-Habib 'Ali bin Muhammad bin 'Alawi bin 'Abdullah bin 'Aidarus BinSyihab

Hikam No 5. Laksanakan Sunnah Nabi Nescaya Kamu Akan Melihat Keajaiban

Bahaya Pemikiran Ekstremis Agama

Dengan tumbangnya rejim Mubarak di Mesir, maka semua gerakan Islam, ahli agama dan orang agama di Mesir sudah tidak perlu bimbang lagi dengan sebarang kemungkinan tindakan penganiayaan ke atas mereka. Ini merupakan suatu perkembangan yang baik, namun apa yang tidak menyeronokkan ialah kebangkitan setengah golongan agama yang agak ekstrem. Dikhuatiri mereka akan menyuburkan perpecahan dalam kalangan masyarakat dengan beberapa tindakan mereka.
Antara yang terbaru ialah memusnahkan beberapa makam para wali dan ulama - yang memang banyak bertebaran di seluruh negara Mesir - kerana didakwa sebagai tempat-tempat BIDAAH dan SYIRIK. Malah mereka turut mengancam untuk meruntuhkan makam kepala Sayidina al-Husain RA. Padahal ramai alim-ulama Mesir dan al-Azhar semenjak dahulu tidak pun menghukumkannya demikian.
Isu inilah yang disentuh oleh al-‘Allamah Syeikh ‘Ali Jum’ah dalam khutbah yang lepas. Antaranya ada sebuah hadis yang disampaikan oleh beliau yang baru telinga saya dengar dan membuatkan saya merenung panjang, iaitu:
عن حُذَيْفَة بْن الْيَمَانِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : إِنَّمَا أَتَخَوَّفُ عَلَيْكُمْ رَجُلا قَرَأَ الْقُرْآنَ حَتَّى إِذَا رُئِيَ عَلَيْهِ بَهْجَتُهُ ، وَكَانَ رِدْءًا لِلإِسْلامِ اعْتَزَلَ إِلَى مَا شَاءَ اللَّهُ، وَخَرَجَ عَلَى جَارِهِ بِسَيْفِهِ، وَرَمَاهُ بِالشِّرْكِ.
أخرجه البزار (رقم 2793) وقال: إِسْنَادُهُ حَسَنٌ، وقال الهيثمى أيضاً (1/188): إسناده حسن. وابن حبان في صحيحه (رقم 81)، وأبو يعلى، والضياء المقدسي. الردء: العون والناصر. وفي شرح مشكل الآثار للطحاوي (865): ...قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَيُّهُمَا أَوْلَى بِالشِّرْكِ الْمَرْمِيُّ أَوِ الرَّامِي؟ قَالَ: لَا بَلِ الرَّامِي. وأخرجه الطبراني عن معاذ (20/88 ، رقم 169) بنحوه بلفظ: أخوف ما أخاف على أمتى ثلاث رجل... وذكر هذا أولهم.
Terjemahan: Dari Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku takut ke atas kamu sekalian seorang lelaki yang membaca al-Quran sehingga apabila telah terlihat pada dirinya seri al-Quran itu, dan ia sebagai pembantu bagi agama Islam, dia pun mengasingkan diri sehingga masa yang dikehendaki Allah, lalu dia keluar kepada jirannya dengan pedang, serta melontarnya dengan tuduhan syirik”. (Riwayat al-Bazzar, Ibn Hibban, Abu Ya’la, dan al-Dhiya’. Kata al-Haythami: Isnadnya hasan)
Dalam riwayat al-Tahawi dan al-Tabarani: Aku bertanya: Ya Rasulullah, yang manakah lebih layak dengan tuduhan syirik itu, yang dilontar atau yang melontar? Jawab baginda: “Tidak, bahkan yang melontar”.
Sifat-sifat yang digambarkan oleh Nabi SAW dalam hadis ini iaitu seorang yang mahir dengan al-Quran sehingga terlihat kesan al-Quran itu pada dirinya serta mempunyai semangat yang tinggi untuk mempertahankan Islam, menunjukkan mereka ini adalah orang-orang yang semangat beramal dan berpegang dengan agama.
Namun sayangnya mereka ini punya kelemahan dari sudut kefahaman ilmu dan juga sifat warak (barangkali boleh disebut sebagai; kurang fiqh dan tasawuf). Lantaran itu, mereka mudah menuduh orang lain sebagai sesat dan melontarnya dengan tuduhan syirik. Sedangkan tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali. Sebab itu Rasulullah SAW menyatakan bahawa tuduhan syirik itu kembali kepada dirinya. Ini menunjukkan satu kejahilan terhadap dirinya kerana ia menyangka bahawa perkara yang dipercayainya itu sebagai suatu isu besar dan masalah pokok dalam agama, sedangkan pada hakikat sebenarnya ia hanyalah isu cabang.
Pasti kita tertanya-tanya masalah apa yang begitu serius sehingga orang tersebut berani menuduh saudaranya dengan tuduhan syirik, padahal ianya tidak sampai ke tahap itu. Orang yang dituduh tersebut pasti tidak menganggap ianya sebagai syirik dan maka itu ia mengamalkannya. Pada hemat saya, tidak ada masalah khilaf yang dapat menimbulkan gejala dahsyat seperti ini kecuali masalah TAWASSUL dan ISTIGHATHAH yang telah melalui tempoh perselisihan yang amat panjang dan hampir tidak berkesudahan. Bahkan telah mengorbankan nyawa yang tidak sedikit.
Masya’ Allah, ini merupakan satu mukjizat Nabi SAW dalam hadis di atas. Apa yang diberitakan oleh baginda SAW ini begitu persis dengan apa yang berlaku pada umatnya hinggalah ke hari ini. Kerana ada setengah golongan yang begitu mudah melontar orang lain dengan tuduhan syirik, padahal perkara tersebut hanyalah dalam masalah-masalah ranting sahaja.
Lihat contohnya bagaimana Imam Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله seorang tokoh ulama besar yang masyhur telah dituduh sebagai pendokong syirik oleh orang yang tidak sedikitpun gentar akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kelak terhadap perbuatannya kerana sifat angkuhnya. Dia menggelar Imam al-Maliki رحمه الله dalam judul bukunya: Mujaddid Millah ‘Amru ibn Luhayy wa Da’iyah al-Syirk fi Haza al-Zaman (Pembaharu Agama ‘Amru bin Luhayy si-Penyembah Berhala dan Pendakwah Syirik Di zaman Ini). La hawla wala quwwata illa biLlah...
Golongan seperti yang dinyatakan ini mestilah dihindari dan ditolak cara pemikiran mereka. Semangat agama yang kuat sahaja tidak cukup jika tidak dibekali dengan roh ilmu serta zikir.

Raddulwahhabiyyah

Ada pelajar bertanya saya: “Ustaz, ada khatib menyebut dalam khutbah Jumaatnya hadis yang maksudnya begini: Barangsiapa yang berarak menuju pemimpin dengan tujuan untuk menghina mereka, maka Allah akan menghinakannya di hari akhirat kelak. Apakah ianya betul sahih?”
Saya diam sejenak berfikir. Mungkin dia hanya menyampaikan maksud hadis yang difahaminya sahaja, bukan teks asal sebenar bagi hadis tersebut. Maka saya jawab, nanti saya akan memeriksanya.
Barangkali khatib tersebut ingin berhujah untuk melarang orang dari berdemonstrasi. Isu yang hangat ketika ini. Demonstrasi harus atau haram? Ramai dari kalangan mereka yang Saudi Oriented mengatakan bidaah dan haram. Manakala selain mereka, kebanyakannya mengatakan harus dengan syarat-syaratnya.
Mungkin hadis yang dimaksudkan ialah hadis riwayat Abu Zar RA berikut;
إِنَّهُ كَائِنٌ بَعْدِي سُلْطَانٌ فَلَا تُذِلُّوهُ، فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُذِلَّهُ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ، وَلَيْسَ بِمَقْبُولٍ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يَسُدَّ ثُلْمَتَهُ الَّتِي ثَلَمَ، وَلَيْسَ بِفَاعِلٍ، ثُمَّ يَعُودُ فَيَكُونُ فِيمَنْ يُعِزُّهُ
Terjemahan: “Sesungguhnya akan muncul selepasku sultan, maka janganlah kamu sekelian menghinakannya. Barangsiapa yang hendak menghinakannya, sesungguhnya ia telah menanggalkan batasan dan hukum Islam dari lehernya. Dan taubat tidak diterima darinya sehingga ia dapat menutup lubang yang ia bocorkan, sedangkan ia tidak dapat melakukannya, kemudian ia kembali, lalu menjadi antara kalangan orang yang memuliakannya”.
Sambungan riwayat hadis tersebut adalah seperti berikut;
أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لَا [نغلب] يَغْلِبُونَا عَلَى ثَلَاثٍ أَنْ نَأْمُرَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَنْهَى عَنْ الْمُنْكَرِ وَنُعَلِّمَ النَّاسَ السُّنَنَ
Kata Abu Zar RA: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar tidak terhalang/mereka menghalang dari tiga perkara, iaitu agar kami menyuruh dengan kebaikan, mencegah dari kemungkaran dan mengajar manusia sunah-sunah”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya (21498/20487), kata al-Haythami: Terdapat padanya perawi yang tidak disebutkan namanya dan baki para perawinya thiqah. Kata Syeikh Syu’aib al-Arna’ut: Isnadnya daif kerana kesamaran perawi dari Abu Zar RA. Juga diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (7374).
Barangkali perawi tersebut ialah Nadhir (نضير) atau Nusair (نصير) mawla Khalid bin Yazid atau mawla Mu’awiyah yang meriwayatkan hadis yang hampir sama makna dari Abu Zar RA yang berbunyi demikian:
"إنه سيكون بعدي سلطان فأعزوه، فإنه من أراد ذله ثغر ثغرة في الإسلام وليست له توبة إلا أن يسدها وليس بساد لها إلى يوم القيامة" .
Terjemahan: “Sesungguhnya akan muncul selepasku sultan, maka muliakanlah ia. Maka sesungguhnya barangsiapa yang hendak menghinakannya, ia telah membocorkan satu lubang dalam Islam. Dan tiada baginya taubat melainkan ia dapat menutupnya semula, sedangkan ia tidak dapat menutupkannya sehingga ke hari kiamat”.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Tarikhnya, al-Ruyani (seperti dalam Kanz al-‘Ummal), Ibn Abi ’Asim dalam al-Sunnah (1019) dan Tarikh Dimasyq (7893) dalam biografi Nadhir atau Nusair mawla Khalid bin Yazid atau mawla Mu’awiyah [lihat juga biografinya dalam Tahzib al-Kamal (6415) & Tahzib al-Tahzib (792)]. Ibn Hibban merekodkannya dalam kitab al-Thiqat (5820). Menurut al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal (9056): Tidak dikenali.. disebut oleh Ibn Hibban dalam Thiqatnya. Ibn Hajar mengulas kata-kata al-Zahabi dalam Lisan al-Mizan (5027): Saya katakan, beliau dithiqahkan oleh Ibn Hibban.
Antara metod Ibn Hibban dalam kitab Thiqatnya ialah merekodkan para perawi yang tidak ada sebarang jarh atau ta’dil padanya. Perawi sedemikian sebenarnya belum dapat dianggap sebagai thiqah di sisi tokoh-tokoh pengkritik hadis lain. Maka kedua-dua riwayat hadis di atas adalah bersanad daif, tidak dapat digunakan dalam penghujahan.
Makna Hadis Jika Sahih
Jika sah hadis ini, maka ia ditujukan kepada demonstrasi rusuhan atau revolusi pemberontakan, bukan demonstrasi aman. Demikian juga maksud hadis-hadis yang seumpamanya yang akan disebutkan sebahagiannya di bawah nanti.
Makna hadis juga perlu merujuk kepada baki riwayat Abu Zar RA berkaitan sikap terhadap pemerintah iaitu katanya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar tidak terhalang/mereka menghalang dari tiga perkara, iaitu agar kami menyuruh dengan kebaikan, mencegah dari kemungkaran dan mengajar manusia sunah-sunah”. Justeru ia dapat sesuai dengan hadis-hadis amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar serta jihad menegur pemimpin.
Sebenarnya dalam hadis ini tiada sebarang larangan demonstrasi dalam ertikata tunjuk perasaan secara aman dan sebagai salah satu cara untuk menyuarakan pendapat. Demonstrasi dalam menuntut kebenaran secara aman tiada kaitan dengan tujuan untuk menghina pemerintah. Apatah lagi sistem demokrasi pilihanraya memang mendorong kewujudan kumpulan-kumpulan kepartian yang berbeza fahaman politik dan dibenarkan bebas untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Saya percaya demonstrasi sebenarnya bukan pilihan pertama oleh pihak berkaitan, ia adalah pilihan terakhir sekiranya dirasakan menemui jalan buntu bagi menyatakan pendapat dan memberi kesedaran positif kepada masyarakat.
Ada yang menghukum demonstrasi adalah haram secara pukul rata kerana bidaah, meniru orang kafir, menentang pemerintah, dan sebagainya. Pandangan ini agak terburu-buru. Seolah-olah ada nas dan dalil yang jelas melarang demonstrasi ini.
Perlu dibezakan antara demonstrasi aman dengan demonstrasi rusuhan serta pemberontakan. Demonstrasi aman tidak dianggap sebagai keluar memberontak terhadap pemimpin yang ditegah dalam banyak hadis-hadis Nabi SAW. Antaranya:
عَنْ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ، فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً. [رواه البخاري (6531) ومسلم (3438)]
Terjemahan: Dari Ibn ‘Abbas RA dari Nabi SAW sabdanya: “Barangsiapa yang melihat dari pemimpinnya sesuatu yang ia benci, maka hendaklah ia bersabar ke atasnya. Maka sesungguhnya barangsiapa yang menjauhi jama’ah (jemaah umat Islam) sejengkal, lalu ia mati melainkan ia mati dalam keadaan jahiliah”.
Hadis-hadis yang melarang keluar daripada mentaati pemimpin dan mengasingkan diri dari jemaah umat Islam serta ingin memecah belahkan perpaduan mereka adalah lebih sesuai ditujukan kepada demonstrasi rusuhan dan revolusi pemberontakan. Memang kebanyakan hadis dan nas hanya menyuruh bersabar, nasihat dengan baik dan memohon perlindungan kepada Allah jika berasa tidak senang terhadap pemimpin. Dan tidak jelas dalam memberi galakan supaya menganjurkan demonstrasi.
Namun, suruhan bersabar bukan bermakna duduk diam dan tidak melaksanakan amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar serta jihad menegur pemimpin. Ini merupakan persepsi yang salah kerana tidak melihat sesuatu masalah dari segenap aspeknya. Demonstrasi aman adalah salah satu dari medium dari berbagai medium yang boleh digunakan bagi menegur pemerintah dan meluahkan pendapat. Dan ia bukannya selalu menjadi pilihan utama. Selagimana ia tidak menyalahi syarak, kenapa perlu dihukum haram?
Demonstrasi aman adalah sebahagian dari proses amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar serta jihad menegur pemerintah. Sabda Rasulullah SAW: “Jihad yang paling afdhal adalah menyuarakan perkataan yang haq di hadapan pemerintah yang penganiaya”. (HR Ibnu Majah, Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi, al-Nasai dan al-Baihaqi).
Dalam hadis lain, sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya, dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman". (HR Muslim).
Galakan amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar dalam hadis-hadis ini adalah umum, sama ada ianya dilakukan secara berseorangan ataupun berkumpulan, kumpulan yang kecil atau kumpulan yang besar.
Syarat Demonstrasi Aman
Jika persiapan demonstrasi itu mengandungi perkara-perkara yang ditegah syarak seperti untuk menuntut perkara haram atau menegakkan kebatilan, bercampuran lelaki perempuan berpegang tangan, mencaci laknat, menyediakan alat letupan, membawa senjata dan alat tajam, menggalakkan vandalisme, kerosakan dan seumpamanya, maka demonstrasi seperti ini tentunya dilarang oleh syarak. Jika tidak ada perkara-perkara yang ditegah, maka tidak ada sebab untuk mengharamkan demonstrasi aman. Maka asal hukumya adalah harus.
Ini berbeza dengan demonstrasi rusuhan yang tujuannya untuk memberontak, mengangkat senjata serta menggugat dan menjatuhkan pemerintah yang memang dilarang oleh syarak.
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ [وفي لفظ: كره] بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ. قَالُوا: أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ؟ قَالَ: لَا، مَا صَلَّوْا. [أخرجه مسلم (3/1480 ، رقم 1854، 3445) ، وأبو داود (4/242 ، رقم 4760)]
Terjemahan: Dari Ummu Salamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan muncul pemimpin-pemimpin yang kamu ketahui (kerana berbuat baik) dan kamu ingkari (kerana berbuat mungkar). Maka barangsiapa yang tahu (kemungkaran itu/benci) ia bebas, dan barangsiapa yang ingkar ia selamat. Akan tetapi barangsiapa yang redha dan mengikut (ia akan binasa). Mereka bertanya: Tidakkah boleh kita memerangi mereka? Jawab baginda: Tidak, selamamana mereka bersolat”.
Perhatikan ayat: “...barangsiapa yang ingkar ia selamat”, yakni termasuk melaksanakan amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar. Justeru, demonstrasi dalam menuntut dan menegakkan kebenaran secara aman tiada kaitan dengan tujuan untuk menghina pemerintah. Bahkan pemerintah yang baik sewajarnya menerima teguran.
Lihatlah ucapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA ketika beliau memegang jawatan khalifah, katanya: Bantulah aku sekiranya aku berada di jalan yang benar dan betulkanlah aku jika aku menyimpang.... Taatilah aku selama mana aku mentaati Allah dan Rasul-Nya. Apabila aku mengingkari Allah dan Rasul-Nya, maka ingkari dan nasihatilah aku”.
Saidina Umar Al-Khattab juga ketika menjawat jawatan khalifah, beliau berpidato, “Sesiapa di antara kalian yang melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka hendaklah kalian meluruskannya”. Mendengar hal ini, seorang Arab badwi dengan lantang menjerit: “Demi Allah wahai Umar! Jika kami dapati kamu melakukan penyelewengan, maka kami akan meluruskan kamu dengan pedang kami yang tajam!” Beliau menjawab dengan pujian dan penuh rasa gembira: “Alhamdulillah, pujian bagi Allah yang menjadikan dari kalangan umat Muhammad mereka yang sanggup meluruskan Umar dengan pedangnya”.
Kedua-dua khalifah ini secara zahir tidak mensyaratkan teguran atau nasihat itu mestilah dibuat secara senyap-senyap atau sembunyi-sembunyi. Justeru, bukankah kedua-dua khalifah agung ini menggalakkan orang ber‘demonstrasi’ demi kebenaran?!
Bahkan kaum muslimin di masa Nabi SAW pernah berkumpul dalam jumlah yang sangat besar dan membai’ah Nabi Muhammad SAW di bawah sebuah pohon sehingga menggerunkan kaum musyrikin. Justeru, fenomena demonstrasi, unjuk rasa atau seumpamanya bukanlah sesuatu hal yang baru dalam Islam.
Oleh kerana sistem demokrasi pilihanraya ini mewujudkan kumpulan-kumpulan kepartian yang berbeza fahaman politik. Maka sewajarnya konsep nasihat menasihati dan tegur menegur antara parti diterima secara terbuka demi kebaikan negara, walaupun melalui demonstrasi aman yang biasanya merupakan pilihan akhir. Demonstrasi adalah termasuk antara ‘pakej’ demokrasi. Selebihnya, biarlah rakyat yang menentukan di dalam proses pilihanraya secara telus dan jujur.
Wallahu a’lam.